Wednesday 7 December 2011

Sejarah Kemerdekaan Negara Signifikan dengan Kontrak Sosial

Gambar Hiasan
Assalamualaikum WBT.
Menjelang tahun baharu 2012, pada kali ini aku ingin berkongsi maklumat tentang permuafakatan politik antara kaum (Kontrak Sosial) yang merupakan salah satu prasyarat oleh penjajah British untuk memberikan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Namun demikian, hal ini (Kontrak Sosial) dipandang sepi oleh generasi pascakemerdekaan dan seolah-olah hanya omongan kosong atau fantasi generasi prakemerdekaan. Lantaran itu, pelbagai spekulasi dan persepsi yang semberono diuar-uarkan dalam pelbagai media sama ada oleh orang Melayu itu sendiri Cina atau India yang agak kabur tentang sejarah Persekutuan Tanah Melayu terutamanya generasi pascakemerdekaan dan segelintir generasi prakemerdekaan. Mungkin kedapatan beberapa isu dalam nota aku ini agak melencong dan tersasar daripada realiti. Oleh itu, aku harapkan semoga korang sama-sama tolong betulkan agar yang melencong dapat diperbetul. 

Rangkuman nota aku kali ini meliputi tentang komposisi kaum di Tanah Melayu pada abad ke-20, definisi Kontrak Sosial, pihak-pihak dan tokoh-tokoh yang membentuk Kontrak Sosial, perkara-perkara utama dalam Kontrak Sosial yang merangkumi kedudukan Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan  dan rasional pemilihan perkara-perkara dalam Kontrak Sosial.

Monday 28 November 2011

Manfaat Mengurut atau Refleksologi

Assalamualaikum WBT.
Urut, jangan tak urut ...
Berdasarkan buku bacaanku yang disusun oleh Amran Kasimin dan Abdullah Seman bertajuk Berurut untuk Pemulihan Urat Saraf terbitan Dinie Publishers (1995) terdapat beberapa manfaat mengurut atau dalam bahasa nampak moden iaitu refleksologi kepada pengamalnya. Di sini aku perturunkan beberapa butiran yang dipetik daripada buku tersebut. Aku juga membuat rujukan di laman web: hamidarshat.com/content/ view/145/150/ yang bertajuk Pemulihan Selepas Bersalin. Moga-moga korang boleh praktikkan amalan mengurut untuk kesihatan fizikal dan mental.

Pengenalan
Dalam masyarakat Melayu, pemulihan urat saraf dianggap berkesan dengan aktiviti fizikal, kaedah pengurutan. Perkara ini melibatkan kaedah perubatan tradisional yang sejagat; diamalkan oleh sebagai masyarakat dunia. Pelbagai teknik pengurutan yang diaplikasikan bergantung pada jenis penyakit saraf yang dihidapi.

Friday 18 November 2011

Keputusan UPSR 2011 SK Sura: Alhamdulillah! Syukur kepada Allah! Praise to Allah!

Assalamualaikum WBT.
Gambar Hiasan
Pada 17 November 2011 (kelmarin) semua warga pendidikan, tak kira swasta atau kerajaan, khususnya yang berhubungan secara langsung dengan UPSR pasti berdebar-debar sebelum keputusan itu diembargokan sebelum jam 10.00 pagi. Tentu para ibu bapa, guru-guru, guru-guru penolong kanan dan guru-guru besar merasai kehangatan fenomena tersebut. Sebelum keputusan diumumkan, pihak sekolah perlu pergi ke pejabat pelajaran daerah (ppd) untuk mengambil keputusan rasmi di sana.  Ada yang pergi ke ppd masing-masing untuk mengambil keputusan UPSR dengan bangga dan jayanya. Akhirnya, mereka balik ke sekolah untuk mengumumkan keputusan tersebut dengan bangga dan jaya. Malangnya ada pula yang pergi dengan bangga dan jaya, tetapi balik ke sekolah dalam keadaan moyok dan tidak berlama-lama di ppd. Tak kurang pula pergi ke ppd dalam keadaan berdebar-debar dan ketakutan, tetapi mereka balik ke sekolah dengan bangga dan jaya. Yang tak bestnya, pergi ke ppd dalam keadaan berdebar-debar dan ketakutan, dan balik dalam keadaan moyok. Terimalah dan berpasrahlah dengan ketentuan serta takdir yang telah diqadak dan diqadarkan oleh Allah SWT.

Aku tidak terkecuali daripada tempias gejolak dan kehangatan fenomena ini. Selaku Setiausaha Peperiksaan SK Sura Dungun Terengganu, aku beserta Penyelaras UPSR (En. Rusmadi bin Abdullah) dan Guru Besar (En. Alias bin Dolah) ke Pejabat Pelajaran Daerah Dungun untuk menerima ketentuan takdir Allah setelah berhempas pulas (kata orang Terengganu “pel’luh sapai ket’ting”: peluh sampai ke keting) sepanjang tahun 2011. Pebagai congakan dan tekaan yang dibuat oleh kami bertiga sepanjang perjalanan ke ppd.

Wednesday 16 November 2011

Cikgu Pro vs Cikgu Cap Ayam

Assalamualaikum WBT.
Kalimah guru; ada orang kata "cikgu", "pendidik", "murabbi", "teacher", "sir", "ustaz", "ustazah", "pengajar" dan yang sewaktu dengannya tugasnya mendidik murid-murid. Aku sebagai seorang guru, kadang-kala prestasi aku macam yoyo; ada masa bersemangat ada kalanya merudum macam pasaran saham. Aku pun malu kediri (malu akan diri sendiri) terhadap prestasi aku sendiri. Insya-Allah aku sedaya upaya nak upgrade: tambah nilai prestasi bak yoyo ini. 

Tentu korang pun sedia maklum kata "pro" iaitu singkatan bagi profesional. Manakala "cap ayam" bukan sardin Cap Ayam, tetapi guru yang tidak profesional dan bermasalah serta penimbul masalah. Kendatipun begitu, kali ini aku nak bercerita dua kategori sahaja mengenai guru yang aku dapatkan daripada member yang berikan iaitu seperti di bawah. Sebagai penjawat awam atau swasta, atau ahli sesuatu organisasi atau apa-apa pun bolehlah dijadikan jadual di bawah sebagai penanda aras, refleksi atau muhasabah kendiri. Harap maaf kalau ada jarum yang patah, harap maaf kalau ada silap dan salah.

Monday 14 November 2011

Ceritera Pokok Epal (Analogi)

Assalamualaikum WBT.
Ceritera/cerita yang aku ingin kongsikan kali ini agak menyentuh kalbu. Adakah aku agak sensitif? Gamaknya hati aku tidak setegas mana. Namun demikian, setiap kali aku menghayati e-mel yang dikirimkan oleh bekas anak muridku di SK Sura. Terima kasih muridku keana meng-e-melkan nota ini untuk cikgu. Sekali lagi aku berasa hiba untuk memuat naik nota ceritera ini. Sama-sama kita analogikan untuk diri sendiri. Cuba kita hayati bersama-sama ... .

Gambar Hiasan
Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Friday 11 November 2011

11-11-11

Assalamualaikum WBT.
Hari ini merupakan hari yang istimewa iaitu penghulu segala hari, Jumaat. Selain itu, tarikhnya memang istimewa dan unik. Pada hari ini banyak pasangan yang ingin melangsungkan hari bahagia mereka sebagai raja sehari, ada pula yang ingin membuat majlis doa selamat dan bacaan tahlil, ada juga yang ingin menimang cahaya mata pada hari ini (kalau tidak boleh cara biologi dan semula jadi, melalui pembedahan pun boleh), nak memulakan projek pun pada hari ini. Cuma kalau boleh tidak ada yang ingin ditamatkan riwayatnya pada hari ini.

Sepanjang hayat di dunia ini (Alhamdulillah aku masih diberikan rezeki untuk hidup setakat ini), aku telah menempuhi beberapa kronologi tarikh yang istimewa iaitu
1. 7-7-77 (7 Julai 1977)
2. 8-8-88 (8 Ogos 1988)
3. 9-9-99 (9 September 1999)
4. 10-10-10 (10 Oktober 2010)
5. 11-11-11 (11 November 2011)

Thursday 22 September 2011

Kon Dale

Assalamualaikum WBT.
Dalam pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar merupakan wadah dalam penyampaian ilmu pengetahuan. Edgar Dale (1969) telah membina tahap-tahap pengalaman pembelajaran murid-murid iaitu Kon Pengalaman Dale. Di sini aku nyatakan dan huraikan setiap peringkat dengan contoh-contoh bahan bantu mengajar yang sesuai. Artikel ini adalah sebahagian tugasan yang aku bereskan untuk subjek HBML 4303 untuk Semester Mei 2010.

Penggunaan Bahasa dalam Konteks Sosial dengan Penerapan Pengetahuan Linguistik

Assalamualaikum WBT.
Gambar Hiasan

Aku telah menemu bual sepuluh orang responden yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, jantina, bangsa dan sebagainya untuk mendapatkan gambaran sebenar sejauh mana ilmu linguistik dan sosiolinguistik ini benar-benar dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Temu bual ini dijalankan adalah untuk menyiapkan tugasan bagi subjek HBML 3403: Linguistik dan Sosiolinguistik Semester Mei 2009 iaitu major Bahasa Melayu program OUM-KPM. Tumpuan aku adalah tentang:
a) Penggunaan bahasa dalam konteks sosial dengan penerapan pengetahuan linguistik;
b) Interaksi antara bahasa dengan latar belakang penggunaan bahasa;
c) Hubungan bahasa dengan organisasi masyarakat (contoh: hubungan bahasa dengan kelas atau status pengguna, konteks sosial, dan sebagainya); dan
d) Sikap terhadap bahasa dan perbezaan-perbezaan yang terdapat dalam bahasa yang berkaitan dengan faktor-faktor kemasyarakatan.
Selain itu, aku sertakan dalam tugasan ini ialah gambar dan demografi responden. Bagi mendapatkan tugasan ini, sila muat turun di sini.

Tuesday 20 September 2011

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga ...

Assalamualaikum WBT.
"Kah! Kah! Kah! Kelakau, kelakau. Kelakau giler!" Pada awal tahun 2011, aku ada menerima kiriman e-mel yang berbentuk video tentang nasib malang berganda atau peribahasanya, sudah jatuh ditimpa tangga. Meleleh air mata aku menonton video ini kerana kelakar amat. Rasa macam nak pecah perut menyaksikan peristiwa kelakar yang berlaku pada seorang lelaki. Hampir nak bergolek aku kerana sungguh lucu sekali. Namun demikian, lelaki itu masih cool dan dapat control macho meskipun pelbagai peristiwa yang berlaku. Aku rasakan video ini dirakamkan kat Korea. "Ha! Ha! Ha! Kelakar, kelakar!".

Pening Nak Bahagi Tanah

Assalamualaikum WBT.
Seorang lelaki kategori warga emas mempunyai empat cahaya mata. Keempat-empatnya merupakan anak lelaki. Keempat-empat anak lelaki tersebut agak tipis sifat kompromi dan toleransi. Perkara yang titik-bengik menjadi sesuatu yang besar. Pendek kata sukar nak diajak kira bicara. Lelaki tua itu mempunyai sebidang tanah yang luasnya sekangkang kera berbentuk L. Rujuk rajah di bawah.

Tatkala memikirkan sikap dan kerenah anak-anaknya, lelaki tua itu bertambah pening. Persoalannya, bagaimanakah nak bahagikan tanah tersebut kepada keempat-empat anaknya dalam BENTUK DAN SAIZ YANG SAMA. "Aduh, pening aku!", getus lelaki tua tersebut. "Kalau aku bahagi tanah ini tak sama saiz dan bentuknya, tentu perrang (berperang) besar anak-anak aku ni.". "Ni silap aku juga sebab tak asuh anak-anak aku supaya bertimbang rasa dan tak kirra (berkira) sangat.". Bolehkah kalian membantu lelaki tua itu menyelesaikan kekusutannya. Fikir punya fikir, akhirnya lelaki tua itu ada satu idea untuk membahagikan tanah tersebut kepada empat bahagian yang sama saiz dan bentuk. Nak tahu bagaimana? Sila muat turun di sini.

Monday 19 September 2011

Pamflet Majlis Raya Merdeka 2011 SK Sura


Assalamualaikum WBT.
Hari ini 19 September 2011, sekolah aku SK Sura, 23000 Dungun, Terengganu telah menganjurkan Majlis Sambutan Raya Merdeka 2011. Macam biasa aku diamanahkan menyediakan pamflet (aku dan semak ejaan pamflet melalui Kamus Dewan, tak ada ejaan PAMPLET). Aku pun agak gaduh-gaduh (tergopoh-gapah) menyediakan pamflet itu kerana aku akan menghadiri Mesyuarat dan Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) PPD Dungun Tahun 2011 mulai 18-20 Sept. 2011 di BTP Marang, Terengganu. Aku dah muat naik pamflet yang dibuat menggunakan Microsoft Publishers tapi dimuatnaikkan guna fail .JPG.
Sila muat turun Pamflet ms.1.
Sila muat turun Pamflet ms.2&3.
Sila muat turun Pamflet ms.4.

Akronim CEMERLANG

Assalamualaikum WBT.
Di sini dimuatnaikkan persembahan  Powerpoint untuk motivasi berasaskan akronim CEMERLANG. Sesuai untuk calon-calon peperiksaan. Meningkatkan daya usaha.
Sila muat turun di sini.

Sunat je ...

Assalamualaikum WBT.
Baru-baru ini masa bulan Ramadan 1432 H anak aku yang ke-3: Fahmi (10 tahun) ada bertanya;
Fahmi: Ayah, kalau buka puasa takpe kalau tak makan kurma?
Aku: Bakpe pulak? Kan sunat makan kurma masa buka puasa.
Fahmi: Tapi, sunat je ayah. Kalau tak buat takpe. Tak berdosa.
Aku: (Dalam hati) Betul jugak ... . Macamane nak terangkan?
Aku: Tu yang silap, abang (panggilan untuk anak aku tu: Fahmi).
Fahmi: Bakpe pulak? Kan sunat je. Tak berdosa.
Aku: Abang kena kata begini, sunat kalau dibuat dapat pahala. Kalau tak buat tak dapat pahala, bukan takpe dan bukan tak berdosa. Barulah kita ada semangat nak buat yang sunat. Betul tak, abang?
Fahmi: (Dia senyap je, macam tak puas hati)
Aku: Bakpe, bang. Ke tak puas hati?
Fahmi: (Dia angguk kepala. Masih tak bercakap)
Aku: Gini abang. Kita kena kata gitu barulah kita rasa amat rugi sekali kalau tak dapat pahala. Sedangkan senang je kalau nak dapat pahala. Jadi kalau tak buat, pahala kurang. Kalau pahala kurang, bekalan mati kita kurang. Kalau bekalan mati kurang dan dosa kita banyak, apa yang terjadi?
Fahmi: Okey ah, ayah. Betul jugak. Abang nak makan kurma banyak masa buka puasa. Dapat pahala banyak. Kalau makan sikit, pahala sikit.
Aku: Loyar buruk, abang ning!
Fahmi: Gurau je ...
Aku: (Dalam hati) Aku pun kadang-kadang terasa berat dan malas nak buat yang sunat. Tapi pandai sangat nak bagi nasihat. Aku pun kena ubah paradigma tentang sunat ni. Barulah terasa amat rugi sekali kalau tak buat yang sunat sedangkan peluang berbuat sedemikian terbentang luas. Nak baca doa lepas solat, biar dulu sebab nak cepat. Nak bagi salam kat orang, segan sebab tak kenal. Nak baca al-Quran, tak sempat banyak nak buat tugasan. Nak senyum kat orang, malaslah dia pun tak senyum kat aku. Nak bagi nasihat kat kawan yang buat salah, segan nanti dia kata aku skema sangat. Rugi, rugi, aku ...

Nota Elektronik Sulung Aku

Assalamualaikum WBT.
Mula berjinak-jinak dengan blog di Blogspot.com dengan bantuan geng aku. Nota ini adalah yang julung-julung kali aku poskan ke blog ini. Perasaan bercampur baur tatkala mengepos nota ini. Bangga setelah lama memasang angan-angan berkongsi minda dengan blogger lain. Rasa kerdil menerjah ke minda kerana banyak perkara yang perlu diterokai untuk bergelumang di blog.