Thursday 22 September 2011

Kon Dale

Assalamualaikum WBT.
Dalam pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar merupakan wadah dalam penyampaian ilmu pengetahuan. Edgar Dale (1969) telah membina tahap-tahap pengalaman pembelajaran murid-murid iaitu Kon Pengalaman Dale. Di sini aku nyatakan dan huraikan setiap peringkat dengan contoh-contoh bahan bantu mengajar yang sesuai. Artikel ini adalah sebahagian tugasan yang aku bereskan untuk subjek HBML 4303 untuk Semester Mei 2010.

Penggunaan Bahasa dalam Konteks Sosial dengan Penerapan Pengetahuan Linguistik

Assalamualaikum WBT.
Gambar Hiasan

Aku telah menemu bual sepuluh orang responden yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, jantina, bangsa dan sebagainya untuk mendapatkan gambaran sebenar sejauh mana ilmu linguistik dan sosiolinguistik ini benar-benar dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Temu bual ini dijalankan adalah untuk menyiapkan tugasan bagi subjek HBML 3403: Linguistik dan Sosiolinguistik Semester Mei 2009 iaitu major Bahasa Melayu program OUM-KPM. Tumpuan aku adalah tentang:
a) Penggunaan bahasa dalam konteks sosial dengan penerapan pengetahuan linguistik;
b) Interaksi antara bahasa dengan latar belakang penggunaan bahasa;
c) Hubungan bahasa dengan organisasi masyarakat (contoh: hubungan bahasa dengan kelas atau status pengguna, konteks sosial, dan sebagainya); dan
d) Sikap terhadap bahasa dan perbezaan-perbezaan yang terdapat dalam bahasa yang berkaitan dengan faktor-faktor kemasyarakatan.
Selain itu, aku sertakan dalam tugasan ini ialah gambar dan demografi responden. Bagi mendapatkan tugasan ini, sila muat turun di sini.

Tuesday 20 September 2011

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga ...

Assalamualaikum WBT.
"Kah! Kah! Kah! Kelakau, kelakau. Kelakau giler!" Pada awal tahun 2011, aku ada menerima kiriman e-mel yang berbentuk video tentang nasib malang berganda atau peribahasanya, sudah jatuh ditimpa tangga. Meleleh air mata aku menonton video ini kerana kelakar amat. Rasa macam nak pecah perut menyaksikan peristiwa kelakar yang berlaku pada seorang lelaki. Hampir nak bergolek aku kerana sungguh lucu sekali. Namun demikian, lelaki itu masih cool dan dapat control macho meskipun pelbagai peristiwa yang berlaku. Aku rasakan video ini dirakamkan kat Korea. "Ha! Ha! Ha! Kelakar, kelakar!".

Pening Nak Bahagi Tanah

Assalamualaikum WBT.
Seorang lelaki kategori warga emas mempunyai empat cahaya mata. Keempat-empatnya merupakan anak lelaki. Keempat-empat anak lelaki tersebut agak tipis sifat kompromi dan toleransi. Perkara yang titik-bengik menjadi sesuatu yang besar. Pendek kata sukar nak diajak kira bicara. Lelaki tua itu mempunyai sebidang tanah yang luasnya sekangkang kera berbentuk L. Rujuk rajah di bawah.

Tatkala memikirkan sikap dan kerenah anak-anaknya, lelaki tua itu bertambah pening. Persoalannya, bagaimanakah nak bahagikan tanah tersebut kepada keempat-empat anaknya dalam BENTUK DAN SAIZ YANG SAMA. "Aduh, pening aku!", getus lelaki tua tersebut. "Kalau aku bahagi tanah ini tak sama saiz dan bentuknya, tentu perrang (berperang) besar anak-anak aku ni.". "Ni silap aku juga sebab tak asuh anak-anak aku supaya bertimbang rasa dan tak kirra (berkira) sangat.". Bolehkah kalian membantu lelaki tua itu menyelesaikan kekusutannya. Fikir punya fikir, akhirnya lelaki tua itu ada satu idea untuk membahagikan tanah tersebut kepada empat bahagian yang sama saiz dan bentuk. Nak tahu bagaimana? Sila muat turun di sini.

Monday 19 September 2011

Pamflet Majlis Raya Merdeka 2011 SK Sura


Assalamualaikum WBT.
Hari ini 19 September 2011, sekolah aku SK Sura, 23000 Dungun, Terengganu telah menganjurkan Majlis Sambutan Raya Merdeka 2011. Macam biasa aku diamanahkan menyediakan pamflet (aku dan semak ejaan pamflet melalui Kamus Dewan, tak ada ejaan PAMPLET). Aku pun agak gaduh-gaduh (tergopoh-gapah) menyediakan pamflet itu kerana aku akan menghadiri Mesyuarat dan Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) PPD Dungun Tahun 2011 mulai 18-20 Sept. 2011 di BTP Marang, Terengganu. Aku dah muat naik pamflet yang dibuat menggunakan Microsoft Publishers tapi dimuatnaikkan guna fail .JPG.
Sila muat turun Pamflet ms.1.
Sila muat turun Pamflet ms.2&3.
Sila muat turun Pamflet ms.4.

Akronim CEMERLANG

Assalamualaikum WBT.
Di sini dimuatnaikkan persembahan  Powerpoint untuk motivasi berasaskan akronim CEMERLANG. Sesuai untuk calon-calon peperiksaan. Meningkatkan daya usaha.
Sila muat turun di sini.

Sunat je ...

Assalamualaikum WBT.
Baru-baru ini masa bulan Ramadan 1432 H anak aku yang ke-3: Fahmi (10 tahun) ada bertanya;
Fahmi: Ayah, kalau buka puasa takpe kalau tak makan kurma?
Aku: Bakpe pulak? Kan sunat makan kurma masa buka puasa.
Fahmi: Tapi, sunat je ayah. Kalau tak buat takpe. Tak berdosa.
Aku: (Dalam hati) Betul jugak ... . Macamane nak terangkan?
Aku: Tu yang silap, abang (panggilan untuk anak aku tu: Fahmi).
Fahmi: Bakpe pulak? Kan sunat je. Tak berdosa.
Aku: Abang kena kata begini, sunat kalau dibuat dapat pahala. Kalau tak buat tak dapat pahala, bukan takpe dan bukan tak berdosa. Barulah kita ada semangat nak buat yang sunat. Betul tak, abang?
Fahmi: (Dia senyap je, macam tak puas hati)
Aku: Bakpe, bang. Ke tak puas hati?
Fahmi: (Dia angguk kepala. Masih tak bercakap)
Aku: Gini abang. Kita kena kata gitu barulah kita rasa amat rugi sekali kalau tak dapat pahala. Sedangkan senang je kalau nak dapat pahala. Jadi kalau tak buat, pahala kurang. Kalau pahala kurang, bekalan mati kita kurang. Kalau bekalan mati kurang dan dosa kita banyak, apa yang terjadi?
Fahmi: Okey ah, ayah. Betul jugak. Abang nak makan kurma banyak masa buka puasa. Dapat pahala banyak. Kalau makan sikit, pahala sikit.
Aku: Loyar buruk, abang ning!
Fahmi: Gurau je ...
Aku: (Dalam hati) Aku pun kadang-kadang terasa berat dan malas nak buat yang sunat. Tapi pandai sangat nak bagi nasihat. Aku pun kena ubah paradigma tentang sunat ni. Barulah terasa amat rugi sekali kalau tak buat yang sunat sedangkan peluang berbuat sedemikian terbentang luas. Nak baca doa lepas solat, biar dulu sebab nak cepat. Nak bagi salam kat orang, segan sebab tak kenal. Nak baca al-Quran, tak sempat banyak nak buat tugasan. Nak senyum kat orang, malaslah dia pun tak senyum kat aku. Nak bagi nasihat kat kawan yang buat salah, segan nanti dia kata aku skema sangat. Rugi, rugi, aku ...

Nota Elektronik Sulung Aku

Assalamualaikum WBT.
Mula berjinak-jinak dengan blog di Blogspot.com dengan bantuan geng aku. Nota ini adalah yang julung-julung kali aku poskan ke blog ini. Perasaan bercampur baur tatkala mengepos nota ini. Bangga setelah lama memasang angan-angan berkongsi minda dengan blogger lain. Rasa kerdil menerjah ke minda kerana banyak perkara yang perlu diterokai untuk bergelumang di blog.