Sunday, 14 October 2012

Kewajaran Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu


Assalamualaikum WBT.

Pejuang Kesusasteraan Melayu yang Dahagi
Tidak dapat dinafikan bahawa, kebudayaan yang dimiliki atau diwarisi oleh datuk nenek tidak akan menitis kepada generasi pewaris hari ini, sekiranya tiada bahasa yang menjadi alat untuk penyampaian dan pemindahan maklumat. Sehubungan itu, kebudayaan yang tercatat dalam bentuk tulisan atau sebaliknya, tetap memerlukan bahasa selaku alat yang berupaya memberitahu generasi hari ini. Justeru, kesusasteraan Melayu klasik yang tercatat dalam bentuk tulisan atau yang belum tercatat dalam bentuk tulisan, dapat dibaca atau didengar melalui perantaraan bahasa. Tanpa bahasa, sastera tidak akan mungkin dapat dibaca dan didengar. Oleh sebab itu, tidak akan wujud sastera Melayu klasik seperti yang ada sekarang. Oleh hal yang demikian, kesusasteraan adalah sebagai satu daripada perkara yang mahu disampaikan oleh penulis kepada pembaca atau pendengarnya. Selain itu, sastera atau tulisan kreatif yang menggunakan bahasa yang baik dan mudah difaham serta tepat maksudnya sahaja yang akan menjadi sastera bemilai yang wajar digunakan sebagai bahan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Sastera Sumber Khazanah Bangsa

Tidak lain dan tidak bukan, sastera merupakan salah satu alat perakam ilmu sesuatu bangsa, dalam konteks ini ialah bangsa Melayu. Ilmu tersebut merujuk kepada pelajaran dan pendidikan yang sistematik dan berbentuk eksperimentasi berasaskan rantaian pengalaman seseorang individu, sesuatu komuniti dan seterusnya sesuatu bangsa. Kedapatan karya-karya sastera menyalurkan maklumat-maklumat dan fakta-fakta perkembangan histori, keputeraan serta kemangkatan raja-raja, peperangan, penjajahan, perdamaian dan perdagangan (aspek ekonomi) dalam masyarakat Melayu dan Nusantara.

Karya-karya berkenaan bercorak cerita legenda yang dipersembahkan dalam bentuk sejarah tradisional (sastera sejarah) adalah seperti “Sejarah Melayu”,  “Hikayat Raja-raja Pasai”, “Hikayat Acheh” dan “Hikayat Hang Tuah”. Selain itu konsep penggabungjalinan ketamadunan teknologi Melayu diaplikasikan dalam sesetengah karya sastera. Contohnya, seni perubatan Melayu, kemahiran membuat meriam, bedil juga senjata, landskap taman dan pembinaan istana jelas digabungjalinkan dalam “Hikayat Isma Yatim” dan “Hikayat Hang Tuah”. Oleh sebab itu, takrifan kebiasaan sastera yang hanya merangkumi karya-karya kreatif sahaja tidak memadai. Hal ini kerana, pengetahuan tentang perkembangan teknologi dalam kronologi sejarah diperincikan dalam karya-karya sastera tertentu.

Konklusi, tanpa sastera, sejumlah besar daripada pengetahuan dan ketamadunan bangsa Melayu tidak sampai kepada generasi hari ini ataupun generasi wawasan akan datang. Inferensnya, seandainya penggunaan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu tidak dikuatkuasakan, tidak mustahil proses kepupusan cerita-cerita lisan dan tulisan dalam bentuk manuskrip berlaku. Implikasinya, hilanglah ilmu bangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, visi dan misi memartabatkan sejarah bangsa Melayu perlu digarapkan dengan proses pengkajian khazanah sastera agar maklumat tentang perspektif terhadap manusia dan peristiwa dapat dieksplorasi secara global. Justeru, matlamat pengajaran dan pembelajaran bahan sastera; melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis dapat dicapai.

Sastera Peningkat Estetik Bangsa

Keistimewaan bahasa sastera adalah terhasil daripada manipulasi bahasa, peranan sastera dalam pembinaan bahasa Melayu. Selain itu, keistimewaan tersebut dapat juga dilihat daripada sudut peningkatan estetik bahasa. Namun demikian, karya-karya sastera bukan hanya memaparkan realiti dan menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, malahan aspek teknik-teknik penyajian dan persembahan amat dipentingkan. Dalam hal teknik penyajian dan persembahan itulah gaya bahasa berperanan secara aktif. Sehubungan itu, isi dan bahasa sebagai wadah penyampaian. Justeru, isi berpadu sehingga gaya bahasa turut menentukan isi. Selanjutnya, proses penciptaan karya sastera sekarang ini lebih bersifat penulisan berbanding lisan. Senario ini terbukti dengan jelas bahawa puisi atau sajak yang lebih hidup apabila didendang  atau dideklamasikan ternyata ditulis terlebih dulu. Setelah itu, barulah karya-karya tersebut diucapkan. Pertumbuhan sastera bertulis memberikan erti yang besar sekali kepada pertumbuhan dan peningkatan estetik bahasa juga.

Keindahan estetik bangsa dalam sastera dapat dilihat daripada aspek gaya bahasa seperti gaya perbandingan, gaya penegasan, gaya perlambangan, gaya pertentangan, irama, imej dan imejan. Perbandingan juga diistilahkan sebagai “bahasa kiasan asolasi” yang meliputi lima gaya iaitu simile, metafora, personifikasi, hiperbola dan alusi. Manakala aspek gaya penegasan terdiri daripada pengulangan kata iaitu anafora, epifora, simplok, responsi dan ulangan kata akhir. Sementara itu, gaya penegasan bagi pengulangan bunyi adalah seperti asonansi, aliterasi dan rima. Seterusnya, gaya perlambangan berasaskan objek konkrit, idea abstrak dan perlambangan peribahasa. Irama merupakan alunan yang wujud dalam sesebuah puisi berkisar tentang nada romantis, melankolik, sinis, protes dan patriotik.

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu memanfaatkan kejituan serta kemantapan bahasa yang terungkap dalam puisi lama seperti gurindam, seloka, pantun dan syair dan tidak terkecuali dalam sebahagian puisi moden dengan jelas memperlihatkan suatu proses penghalusan serta suatu peningkatan estetik bahasa Melayu. Seterusnya perkembangan sastera moden di negara ini akan kita dapati bahawa mampu difahami oleh seluruh masyarakat pembaca, baik pembaca itu ada sejarah atau pengalaman sastera sesuatu bangsa atau sebaliknya, dan tidak terkecuali para pelajar. Hal ini bertepatan dengan hasrat kementerian untuk memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa dalam kalangan pelajar melalui pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bahan sastera.

Sastera Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan

Cukup jelas, bahawa sastera dipersembahkan melalui media lisan dan juga tulisan. Lazimnya, pada permulaan sesuatu sastera, karya diungkapkan berasaskan wadah media lisan. Pengaruh tradisi sastera lisan masih signifikan hingga pada masa sekarang. Walau bagaimanapun, dalam perkembangan sastera sesuatu bangsa, tidak dapat dinafikan bahawa tradisi tulisan atau persuratan yang akhimya menjadi wadah yang dominan. Hal ini tidak terkecuali dengan sastera Melayu. Di samping itu, karya sastera tulisan memainkan peranan yang utama dalam memantapkan tradisi persuratan bahasa Melayu yang utuh. Karya sastera seperti “Sulalatus Salatin”, “Bustanus Salatin”, “Hikayat Raja Pasai”, “Hikayat Acheh” dan “Hikayat Hang Tuah”yang menjadi pemangkin bagi bahasa Melayu tertulis sekarang ini.

Selanjutnya, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek sastera memainkan peranan yang penting dalam pembinaan bahasa Melayu. Matlamat pendidikan bahasa dalam aspek pengajaran dan pembelajaran adalah untuk memberikan kemahiran bahasa seoptimum mungkin kepada pelajar. Sehubungan itu, pelajar memperoleh pengetahuan-pengetahuan lain yang pelbagai dengan wadah kemahiran bahasa. Oleh hal yang demikian, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa yang bermatlamatkan penguasaan kemahiran bahasa itu, karya sastera yang paling sesuai dijadikan bahan pengajaran. Hal ini kerana sejarah perkembangan bahasa Melayu menunjukkan bahawa sejak tradisi tulisan berrnula, karya-karya sastera Melayu pada dasarnya menggunakan ragam bahasa Melayu yang sama, tanpa terpengaruh lokasi karya tersebut dihasilkan. Lazimnya, suatu ragam bahasa sastera standard yang dikenal sebagai “bahasa hikayat” dipraktikkan dalam bahasa Melayu klasik. Hal ini terbukti dengan pemerhatian terhadap persembahan dan gaya lenggok bahasa karya sastera tulisan, iaitu tradisi novel Melayu dari zaman awalnya hingga sekarang memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu umum dengan pengaruh dialek kawasan yang agak minimum.

Oleh hal yang demikian, sastera yang baik, berkesan dan standard daripada segi laras bahasa akan dapat menjadi contoh kepada pelajar dalam hal karang-mengarang dan penjanaan serta persembahan idea, baik secara lisan mahupun tulisan. Guru akan dapat menunjukkan contoh-contoh tentang bahasa yang baik dan berkesan daripada karya sastera yang terpilih. Banyak karya novel Melayu di Malaysia yang sesuai dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran penulisan seperti hasil penulisan daripada kalangan guru seperti Harun Aminurrasyid, Ahmad Bakhtiar dan Abdullah Sidik. Manakala karya-karya penulis lain seperti Ishak Haji Muhamad, Raja Mansur dan Syamsudin Saleh pada era 30-an juga sesuai dijadikan bahan pengajaran. Karya penulis-penulis pascamerdeka, Hassan Ali, Atan Long, Awang Had Salleh, Arenawati, Ibrahim Omar, A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan Abdullah Hussein selayaknya menjadi sumber data bagi pengajaran bahasa. Oleh hal yang demikian, pelajar-pelajar secara beransur-ansur dapat memperkuat rasa bahasa dan mempertajam daya kreatif dalam berbahasa terutamanya aspek penulisan. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa penggunaan bahan sumber sastera akan meningkatkan kekuatan rohani dan intelek pelajar. Selain itu, kemahiran intrapersonal dan interpersonal para pelajar dapat dipertingkatkan dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bahan sastera.

Wassallam.

No comments:

Post a Comment