![]() |
Urut, jangan tak urut ... |
Dalam masyarakat Melayu, pemulihan urat saraf dianggap berkesan dengan aktiviti fizikal, kaedah pengurutan. Perkara ini melibatkan kaedah perubatan tradisional yang sejagat; diamalkan oleh sebagai masyarakat dunia. Pelbagai teknik pengurutan yang diaplikasikan bergantung pada jenis penyakit saraf yang dihidapi.
Kaedah Mengurut
Proses pengurutan terbahagi kepada dua kaedah utama, iaitu mengurut ke seluruh badan dan urutan di bahagian-bahagian tertentu. Kaedah mengurut ke seluruh badan diaplikasikan dalam pemulihan penyakit lumpuh seluruh badan, lenguh-lenguh dan sakit pinggang. Manakala, bagi sakit perut, urutan di bahagian tertentu sahaja dilakukan seperti di otot-otot betis dan tapak kaki. Selain itu, penggunaan minyak semasa pengurutan bertujuan melicinkan proses urutan. Kendatipun, pengaruh perubatan moden telah menyeluruh dan perkhidmatan rawatan mudah diperoleh, namun aktiviti fizikal ini; mengurut, masih dipraktikkan secara meluas.
Analogi Mengurut
Fizikal manusia merangkumi organisasi sel (membentuk tisu, seterusnya organ dan sistem), sistem rangka, saraf, sistem peredaran darah dan sebagainya. Selain itu, fizikal manusia bagaikan sebuah jentera automatik yang bertugas berterusan siang dan malam tanpa tertakluk pada waktu sehingga akhir hayat. Aktiviti pengurutan dipercayai mampu menstruktur semula fungsi saraf dan otot, seterusnya berupaya menjaga dan memulihkan sekiranya berlaku ke abnormalan terhadap fungsi saraf dan otot.
![]() |
Teknik Mudah untuk Mengurut |
Teknik pengurutan kendiri menggunakan tumit dipercayai berkeupayaan menghindari penyakit kebas, lenguh anggota kaki, sakit pinggang serta dapat memperkasakan tenaga batin di samping menguatkan otot-otot betis. Di samping itu, bagi pengidap penyakit-penyakit berkenaan digalakkan mempraktikkan teknik pengurutan ini.
Faedah Mengurut-Proses Kehamilan
Pada peringkat kehamilan dan ketika melahirkan anak, banyak perubahan berlaku pada wanita. Antara perubahan yang sangat ketara ialah berat badan semakin meningkat. Di samping itu, perubahan fisiologi juga kerap berlaku seperti kandungan cecair darah meningkat, denyutan jantung yang kuat dan lebih kerap, tekanan darah serta respirasi yang meningkat lebih daripada biasa, serta perubahan mungkin berlaku di peringkat biokimia (proses-proses kimia yang berlaku pada organisma) sel atau tisu badan. Ketika bayi dilahirkan pula, wanita mengalami suatu perubahan agak serius yang dianggap sebagai kecederaan. Hal Ini disebabkan oleh proses kelahiran bayi yang perlu melalui saluran kemaluan yang sempit. Proses ini mengakibatkan saluran ini renggang dan kadang kala mengalami kecederaan.
Aktiviti fizikal tertentu ke bahagian keseluruhan badan adalah sangat digalakkan untuk mempercepat proses pemulihan kesihatan fizikal dan mental. Meskipun, mengurut tidak akan mempercepat pemulihan secara mutlak, namun aktiviti ini memberikan keselesaan kepada otot-otot yang menjadi lemah semasa hamil. Mengurut memberi rasa keseronokan serta menyegarkan badan di samping memberi kesan sampingan yang mimimum terhadap memperkukuhkan otot-otot.
Dewasa ini sering berlaku beberapa masalah buah dada selepas bersalin. Antaranya, bengkak buah dada yang kebiasaannya disebabkan saluran susu pada puting tetek tersekat. Kaedah untuk mengelakkan gejala ini adalah dengan membersihkan puting buah dada dengan air bersih dan proses pengurutan buah dada ke arah puting untuk memudahkan aliran susu. Berdasarkan kajian santifik, jika buah dada selalu diurut, nescaya masalah saluran puting susu tersumbat dapat diatasi. Lazimnya, bengkak buah dada kerap timbul dalam kalangan ibu yang tidak menyusukan anaknya.
Fitrahnya, tubuh manusia mempunyai sistem imunisasi atau kekuatan dalaman yang mampu mengawal kesihatan diri, tetapi mekanisme ini tidak akan berfungsi apabila tubuh seseorang telah dilonggokkan himpunan toksik dalam kuantiti yang banyak. Keadaan menjadi semakin serius apabila proses menyahtoksikkan (perkumuhan) tidak berfungsi dengan sempurna dan badan juga tidak mendapat zat nutrien yang secukupnya (40 jenis nutrien).
Sistem limfotik ialah mekanisme imunisasi yang penting dalam tubuh iaitu pembuluh dan nodus limfa membentuk jaringan unik ini. Nodus limfa tersusun secara berkelompok di sekeliling tubuh, termasuk bahagian leher, ketiak dan dada. Tanpa sistem limfa, badan tidak mampu bertahan lama. Sisa buangan, bahan toksik dan mikroorganisma dalam tubuh yang tidak dapat disingkirkan akan menimbun dan seterusnya menyebabkan komplikasi dan kematian. Aktiviti fizikal kaedah mengurut menggunakan minyak yang tertentu di bahagian ketiak, leher, dada dan saliran di pangkal paha telah mengaktifkan pengaliran cairan limfa ke nodus untuk dimusnahkan oleh sel-sel limfotik. Oleh hal yang demikian, proses detoksifikasi akan diaplikasikan daripada sistem limfotik. Detoksifikasi adalah proses penyingkiran himpunan toksik yang terkumpul di dalam tubuh badan terutamanya di organ-organ tertentu seperti hati, kolon (bahagian usus besar dari usus buntu hingga ke penghujung usus), ginjal, darah dan sistem limfotik (seperti yang dinyatakan sebelum ini).
No comments:
Post a Comment