![]() |
"Betapa hebat aku dapat ponteng dengan geng aku" |
Setelah murid-murid tahun 6
menyambut ‘Hari Kemerdekaan UPSR’ pada 15 September 2012 baru-baru ini, tidak
dapat dinafikan bahawa masalah ponteng sekolah sentiasa menghantui institusi
pendidikan terutamanya institusi persekolahan yang merangkumi sekolah rendah
dan menengah. Bagi sekolah menengah, fenomena ini berlaku dalam kalangan
pelajar tingkatan 3 yang selesai menduduki PMR. Oleh yang demikian, masalah
ponteng sekolah bukan merupakan satu isu yang timbul begitu sahaja. Sebaliknya,
gejala ini terpendam dan dapat diketengahkan serta dicetuskan pada bila-bila
masa yang dikehendaki. Di Malaysia,
guru-guru dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memantau, mengawas dan
seterusnya menangani murid-murid yang terlibat dengan gejala ponteng.
Definisi Ponteng
Ponteng
didefinisikan sebagai lari daripada tugas atau tanggungjawab dan lain-lain
(Kamus Dewan Edisi Keempat: 1225). Sehubungan itu, ketidakhadiran murid ke
sekolah tanpa sebab yang munasabah dan di luar pengetahuan ibu bapa atau
penjaga menatijahkan lari daripada tanggungjawab sedangkan sepatutnya hadir ke
sekolah untuk belajar dapat dirujuk sebagai ponteng sekolah. Namun demikian,
kedapatan murid yang tidak hadir tetapi dalam pengetahuan ibu bapa atau
penjaga. Lazimnya, gejala ini signifikan dengan murid yang tidak berdisiplin
dan bermoral rendah.
Jenis-jenis Ponteng
Menurut
Azizi Yahaya et. al (2009) dalam kajian mereka yang bertajuk “Faktor-faktor
yang Mempengaruhi Gejala Ponteng di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Johor”,
ponteng terdiri daripada empat jenis seperti Jadual.
Jenis-jenis Ponteng
Jenis
|
Keterangan
|
Ponteng sekolah
|
Keluar rumah dengan berpakaian
seragam tetapi tidak ke sekolah.
|
Ponteng kelas
|
Hadir ke sekolah tetapi
pada masa pengajaran subjek-subjek tertentu, menghilangkan diri.
|
Ponteng hati
|
Berada di dalam bilik
darjah tetapi hati serta fikiran menerawang keluar dan hanya menunggu loceng
waktu akhir untuk keluar sekolah.
|
Ponteng bangun lewat
|
Tidak hadir ke sekolah
kerana terlewat bangun daripada tidur.
|
Sumber: Azizi Yahaya et. al (2009) Faktor-faktor yang mempengaruhi gejala ponteng
di kalangan pelajar sekolah menengah Johor. Unpublished thesis. UTM : Fakulti Pendidikan.
Kes Ponteng yang Pernah Dilaporkan dalam Akhbar
Aku
terpanggil untuk memetik satu kes ponteng yang dilapor dan dimuatnaikkan pada
23 November 2009 dalam Utusan Online iaitu di laman sesawang http:// www.utusan.com.my/ utusan/ info.asp?y= 2009&dt= 1123&pub= utusan_malaysia&sec= Pendidikan&pg= pe_02.htm&arc= hive.
Tajuk artikel tersebut ialah “100 Pelajar Sekolah Ponteng Setiap Hari” yang telah dilampirkan pada bahagian
Lampiran di halaman 15.
Dilaporkan kira-kira 100 murid SMK
Tun Syed Nasir Ismail di Kampung Datuk Sulaiman Menteri didapati ponteng
sekolah setiap hari. Masalah ini membarah diakibatkan oleh beberapa faktor
penolak dan penarik yang menjadi sebab musabab murid melakukan perlakuan sedemikian.
Gejala ponteng ini telah merantai diri murid yang terbabit dan mengimplikasikan
ketagihan ponteng. Impaknya, fenomena ponteng sekolah akan berterusan dari
semasa ke semasa tanpa titik noktahnya sama ada di sekolah rendah mahupun di
sekolah menengah.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng
![]() |
Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng Sekolah |
Faktor-Faktor yang
Mempengaruhi Gejala Ponteng: Sikap Murid
Kecenderungan serta kesedaran murid terhadap
kepentingan akademik dan situasi masa hadapan adalah tipis dibandingkan dengan
kecenderungan mereka terhadap hiburan dan budaya hedonisme. Justeru, murid yang
ketiadaan visi dan misi dalam pembelajaran mereka telah bersikap tidak cakna
terhadap pelajaran. Tambahan pula, sikap murid mudah terikut-ikut dengan gaya
penampilan artis yang diminati oleh mereka, seperti memakai pakaian yang
berjenama dan stail rambut yang baharu. Lebih mengejutkan, jika tiada wang
mencukupi, mereka rela ponteng sekolah untuk bekerja demi mendapatkan wang.
Oleh sebab sikap yang negatif daripada murid-murid tersebut telah mengakibatkan
keciciran dalam akademik. Natijahnya, minat murid untuk belajar semakin susut
dan terhakis.
Faktor-Faktor yang
Mempengaruhi Gejala Ponteng: Realiti Pembelajaran
Examination oriented yang menjadi teras sistem pendidikan di Malaysia juga menyumbang ke
arah berleluasa gejala ponteng sekolah. Impak daripada situasi ini telah
menyebabkan pembelajaran hanya berfungsi untuk memberi pelajaran dan bukan
pendidikan yang sebenar. Sedangkan pelajaran dan pendidikan mempunyai fungsi
yang berasingan. Tambahan pula, pelbagai subjek yang disogokkan kepada murid
dan luas pula skopnya untuk dikuasai. Kesemua murid tersebut mengakui bahawa
beban pembelajaran yang berat berbanding tahap IQ (intelligence quotient) mereka. Tambahan pula desakan yang melulu
sebahagian daripada ibu bapa murid berkenaan yang meningkatkan tahap stres
mereka. Oleh hal yang demikian, murid akan hilang minat dalam sesuatu subjek
dan guru pula tidak berusaha menarik minat mereka. Justeru, murid-murid itu
akan hilang semangat belajar lantas mencari jalan keluar daripada kemelut dalam
pembelajaran dengan ponteng sekolah.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi
Gejala Ponteng: Latar Belakang Murid
Taraf sosioekonomi ibu bapa
murid yang ponteng secara puratanya adalah rendah. Antaranya adalah seperti
mekanik, tukang rumah, dan pemandu lori. Berdasarkan temu bual, dapat
disimpulkan bahawa ibu bapa murid-murid ini tidak mampu menyediakan segala
keperluan pembelajaran mereka dan makanan yang berzat. Cuma seorang murid
daripada kumpulan sosioekonomi sederhana iaitu anak pegawai kerajaan. Selain
daripada kekurangan dalam aspek kebendaan, ditambah pula dengan ketiadaan
kecaknaan terhadap pelajaran, tahap disiplin yang rendah serta senario rumah
tangga yang dirundung pelbagai masalah begitu signifikan dengan gejala salah
laku ringan, terutamanya ponteng dan datang lewat ke sekolah. Masalah kemiskinan keluarga mengakibatkan kekurangan serba serbi lalu
murid-murid ini malas untuk ke sekolah. Konklusinya, latar belakang keluarga
yang kucar-kacir dan tahap disiplin yang rendah mengakibatkan murid-murid
berasa bosan terhadap aktiviti pembelajaran dan mengambil tindakan yang
merugikan diri, iaitu ponteng sekolah.
Faktor-Faktor yang
Mempengaruhi Gejala Ponteng: Struktur Sekolah
Bagi faktor ini,
murid-murid agak ragu-ragu untuk mengemukakan pendapat mereka. Kemungkinan
murid menganggap aku hanya mencari kesalahan mereka ketika sesi temu bual
dijalankan. Murid-murid tersebut berani melakukan ponteng sekolah sekehendak
hati mereka kerana hukuman ringan yang dikenakan atas kesalahan ini. Selain
itu, mereka mengakui bahawa bilangan guru wanita yang tinggi merupakan satu gejala
yang mengakibatkan ponteng. Hal ini berkemungkinan diakibatkan daripada
kelemahan sebahagian guru wanita untuk mengawal ketenteraman kelas ketika sesi pengajaran dan
pembelajaran. Sedangkan, pembelajaran yang berkesan datangnya daripada suasana
kelas yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat kritikal bagi melahirkan
pencapaian yang baik dalam kalangan murid. Ada juga antara murid yang ponteng
disebabkan kedapatan segelintir murid sekolah terlibat dalam gengsterisme
yang menyebabkan murid-murid lain disindir, dibuli, dan dijadikan tempat
melepaskan geram. Perkara ini menyebabkan sesetengah murid lain takut untuk hadir ke
sekolah atas alasan ini. Hal ini diakui oleh beberapa orang murid perempuan
ketika sesi temu bual dijalankan.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi
Gejala Ponteng: Alam Persekitaran
Berdasarkan temu bual
tersebut, didapati pengaruh persekitaran juga menyumbang ke arah fenomena
gejala ponteng sekolah. Antaranya adalah seperti kewujudan pusat kegiatan riadah dan pusat
internet iaitu kafe siber di sekitar petempatan ini. Justeru, alam persekitaran
mempengaruhi jiwa murid-murid ini yang masih mentah. Murid-murid ini celik IT dan akan berfikiran lebih
terkehadapan dalam semua aspek termasuklah dari sudut
hiburan yang menyebabkan mereka lupa dan alpa peranan sebenar mereka iaitu
pergi ke sekolah untuk belajar. Oleh hal yang demikian, jalan yang dilalui untuk terus mengikuti
teknologi yang menghilangkan kewarasan akal adalah dengan membuang masa di kafe siber pada setiap waktu
termasuklah sanggup memonteng sewaktu
masa sekolah agar keseronokan akan dikecapi oleh mereka. Hal ini
merupakan faktor penarik kepada gejala ponteng sekolah. Selain itu, jika dirungkai
permasalahan ini pasti kita akur bahawa persekitaran sekolah kurang kondusif
atau dikatakan sebagai
suasana yang membosankan merupakan faktor penolak terhadap gejala ini.
Faktor-Faktor yang
Mempengaruhi Gejala Ponteng: Pengaruh Rakan Sebaya
Selain itu, rakan-rakan banyak mempengaruhi
pemikiran golongan muda terutamanya pada alam sekolah rendah juga menjadi
penyumbang kepada berlakunya gejala ponteng. Menurut pengakuan yang dibuat oleh
murid-murid berkenaan, mereka terpengaruh dengan rakan-rakan yang terdiri
daripada murid-murid sekolah menengah yang berhampiran. Tambahan pula kurangnya
didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa dan perasaan ingin tahu,
pastinya desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya boleh menjadi penyebab
terjadinya masalah ponteng yang kian sukar dibendung lagi. Hal ini disebabkan
murid-murid tersebut berasa seronok dan selesa bersama dengan rakan, meniru
fesyen dan gaya rakan-rakan.
Tindakan Terhadap Kaki Ponteng Sekolah yang Dilaksanakan Oleh
Sekolah Aku
Berdasarkan pemerhatian aku, beberapa
tindakan yang sepatutnya dan yang telah diambil terhadap mereka yang kerap
ponteng sekolah. Antaranya adalah seperti berikut:
- Memberikan
didikan agama yang sempurna agar murid dapat memahami diri dan
tanggungjawab yang diberikan kepada mereka iaitu hadir ke sekolah untuk belajar. Sekolah aku ada melaksanakan Program Pasca-UPSR yang
membabitkan Panitia Agama Islam dan j-Qaf dalam merangka aktiviti
kerohanian seperti pengukuhan bacaan dan pratikal solat serta usrah untuk
murid lelaki dan perempuan secara berasingan. Bagi kes ponteng,
ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak berkenaan perlakuan mereka meskipun kekangan masa dan
tugasan mencari rezeki begitu menghimpit kehidupan. Ibu bapa
pastinya sedia maklum perubahan demi perubahan yang dialami oleh anak-anak. Andainya perlakuan anak-anak mencurigakan,
pihak ibu bapa harus terus berbicara dan berkongsi masalah.
- Tindakan yang berikut boleh
dipraktikkan oleh pihak kaunseling terhadap kaki ponteng sekolah dalam
menyelesaikan bahana ponteng adalah dengan menanam sikap benci akan perbuatan tersebut sedari kecil. Hal ini agar
perasaan yang disemai itu akan tumbuh subur
sehingga murid tidak
akan melakukan ponteng.
- Penguatkuasaan peraturan
sedia ada yang berkaitan dengan kesalahan ponteng sekolah perlu
diaktifkan, iaitu hukuman merotan. Antara 35 jenis jenis kesalahan berat
yang membolehkan seseorang murid dikenakan hukuman merotan oleh pengetua
ataupun guru yang dipertanggungjawabkan bagi menjalankan proses merotan
ialah ponteng. Tindakan ponteng sekolah merupakan yang ke-29 dalam senarai
kesalahan berat; melakukan ponteng sekolah berterusan (berturut-turut)
selama 30 hari ataupun berkala (tidak berturut-turut) selama 60 hari /
selama satu tahun sesi persekolahan.
- Program bacaan surah Yasin dan
al-Quran dilaksanakan kepada semua murid tahun enam secara amnya dan
khusus untuk mereka yang kerap ponteng sekolah. Kebarangkalian yang tinggi
bahawa murid yang terlibat
dalam program ini, selepas melakukan kesalahan akan mudah
menerima nasihat sekali gus tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan, iaitu ponteng. Hal ini berikutan al-Quran tidak diragui mampu untuk
melembutkan hati manusia yang keras. Fakta ini telah terbukti apabila sejarah
membuktikan Saidina Umar Al-Khattab yang berjiwa keras sebelum Islam telah lembut hanya
dengan mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran sehingga beliau mengucap kalimat syahadat tanda Allah
melembutkan hatinya dengan sebab musabah al-Quran.
Dalam merangka sebarang tindakan untuk menangani
peningkatan murid ponteng sekolah, sebaik-baiknya kita renungi dan hayati firman Allah SWT dalam
surah al-Asr ayat
1 hingga 3 yang bermaksud, “Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang
yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati
supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati dengan penuh kesabaran”.
No comments:
Post a Comment