Wednesday 7 December 2011

Sejarah Kemerdekaan Negara Signifikan dengan Kontrak Sosial

Gambar Hiasan
Assalamualaikum WBT.
Menjelang tahun baharu 2012, pada kali ini aku ingin berkongsi maklumat tentang permuafakatan politik antara kaum (Kontrak Sosial) yang merupakan salah satu prasyarat oleh penjajah British untuk memberikan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Namun demikian, hal ini (Kontrak Sosial) dipandang sepi oleh generasi pascakemerdekaan dan seolah-olah hanya omongan kosong atau fantasi generasi prakemerdekaan. Lantaran itu, pelbagai spekulasi dan persepsi yang semberono diuar-uarkan dalam pelbagai media sama ada oleh orang Melayu itu sendiri Cina atau India yang agak kabur tentang sejarah Persekutuan Tanah Melayu terutamanya generasi pascakemerdekaan dan segelintir generasi prakemerdekaan. Mungkin kedapatan beberapa isu dalam nota aku ini agak melencong dan tersasar daripada realiti. Oleh itu, aku harapkan semoga korang sama-sama tolong betulkan agar yang melencong dapat diperbetul. 

Rangkuman nota aku kali ini meliputi tentang komposisi kaum di Tanah Melayu pada abad ke-20, definisi Kontrak Sosial, pihak-pihak dan tokoh-tokoh yang membentuk Kontrak Sosial, perkara-perkara utama dalam Kontrak Sosial yang merangkumi kedudukan Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan  dan rasional pemilihan perkara-perkara dalam Kontrak Sosial.


Komposisi Kaum di Tanah Melayu Pada Abad ke-20 

Negara kita terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum dan beraneka ragam. Kepelbagaian ragam ini dapat dilihat di sudut etnik. Sehubungan itu, akan wujud perbezaan cara hidup, bahasa, politik, ekonomi, petempatan, dan hubungan sosial. 


Dalam perspektif sejarah, penghijrahan orang-orang Cina dan India ke Tanah Melayu lebih pesat selepas penemuan bijih timah oleh Long Jaafar di Larut, Perak pada tahun 1848. Beliau ialah seorang pembesar di Perak daripada keturunan Orang Besar Enam. Gajah peliharaannya menemui kesan-kesan bijih timah, Akhirnya, beliau membuka lombong-lombong bijih timah di Kelian Pauh (Kemunting) dan di Kelian Baru (Taiping). Sebelum itu, hampir keseluruhan penduduk Tanah Melayu merupakan orang Melayu. Implikasi perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, bilangan orang Melayu telah bertambah dengan kedatangan imigran Indonesia. Di samping itu, bilangan orang Eropah meningkat kerana mereka terlibat dalam kedua-dua perusahaan tersebut. Menjelang tahun 1930-an, orang Eropah telah menguasai perusahaan bijih timah. 


Impak daripada perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, komposisi penduduk mengalami perubahan. Walaupun sebelum 1848, orang Melayu menjadi majoriti penduduk Tanah Melayu tetapi menjelang tahun 1921 bilangan imigran iaitu kaum Cina dan India melebihi penduduk Melayu iaitu penduduk bukan Melayu ialah 53.2 peratus sedangkan penduduk Melayu sejumlah 44.7 peratus. Namun demikian, komposisi kaum ini mengalami perubahan menjelang kemerdekaan. Berlaku penurunan peratus penduduk bukan Melayu berkemungkinan disebabkan ramai antara mereka kembali ke negara asal. Hal ini membuktikan bahawa pertambahan penduduk bukan Melayu di negara kita adalah disebabkan kemasukan dari negara asal. 

Kontrak Sosial Antara Kaum

Definisi Kontrak Sosial 

Berdasarkan Hajah Noresah bt. Baharom (Ketua Editor), 2005, Kamus Dewan, (Edisi ke-4), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Manakala sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat, dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. 

Pihak-pihak dan Tokoh-tokoh yang Membentuk Kontrak Sosial 

Sejarah moden Malaysia memperlihatkan satu kerjasama dan persefahaman yang amat penting dalam masyarakat kita, iaitu ketika Semenanjung Tanah Melayu akan diberikan kemerdekaannya pada tahun 1957. Pada tahun 1949, Januari, Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) ditubuhkan yang bermatlamatkan untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan mencari penyelesaian tentang perpaduan kaum-kaum di Tanah Melayu. Sehubungan itu, 15 ahli daripada pemimpin pelbagai kaum menganggotai jawatankuasa tersebut. Implikasi daripada toleransi UMNO-CLC, beberapa perkara yang menjurus ke arah persefahaman kontrak sosial untuk mewujudkan perpaduan telah dipersetujui. Antaranya, tentang keistimewaan orang Melayu, kewarganegaraan, pilihanraya, dan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. 


Jadual 1: Keanggotaan CLC 
Jawatan
Nama
Penasihat
Sir Malcolm MacDonald
Pengerusi
E.E.C. Thuraisingam
Wakil UMNO
Dato’ Onn Jaafar
Wakil MCA
Tan Cheng Lock
Wakil kaum lain
India, Ceylon, Serani, dan Eropah

Selain itu, Parti Perikatan yang dipimpin oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dengan dua orang ketua parti yang mewakili kaum Cina (MCA) dan kaum India (MIC): John Thivy ialah pengasas dan pemimpin MIC, telah menghantar memorandum tentang tolak ansur antara kaum dari segi perkara-perkara yang berkaitan kepentingan mereka kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu atau Perlembagaan Merdeka 1957 [Jun 1956, Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan bagi Tanah Melayu yang akan merdeka. Ahli suruhanjaya ini terdiri daripada Lord Reid (British), Sir Ivor Jennings (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India), dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan)]. Secara tidak langsung, berlaku satu perjanjian kontrak sosial antara kaum demi kepentingan bersama. Selain daripada itu, memorandum terpenting adalah daripada raja-raja Melayu yang menjadi salah satu item dalam kontrak sosial tersebut. 

Umum mengetahui bahawa, persetujuan dalam kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, dan India merupakan permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka dikenali sebagai kontrak sosial. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA, dan MIC. Keadilan sosial dalam perjanjian ini merangkumi keadilan ekonomi, politik, dan kebudayaan. 

Perkara-perkara Utama dalam Kontrak Sosial
Sebahagian besar fasal-fasal utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan ialah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak. Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. 

Kedudukan Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan
Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Hal ini adalah untuk mengekalkan simbol ketuanan orang-orang Melayu. Apabila kemerdekaan diberikan kepada Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal Tanah Melayu. Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan (baginda dikehendaki mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri). Selain itu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. 

Hak Keistimewaan Orang Melayu
Kedudukan orang Melayu sebagai kaum bumiputera di Tanah Melayu diktiraf dan hak istimewa mereka dijamin oleh perlembagaan. Hak keistimewaan orang Melayu tersebut tidak mutlak. Hal ini diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut, hak untuk menggunakan bahasa ibunda, dan terpenting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Kedudukan Islam Sebagai Agama Rasmi
Status Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ialah satu isu yang penting kerana hal ini berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoriti penduduk (orang Melayu) di Tanah Melayu. Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan [“Undang-undang Malaysia : Perlembagaan Persekutuan”, Mengandungi Pindaan Terkini-Akta 1260/2006, Perkara 3 (1)].
“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” 

Justeru, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan membayangkan apa-apa yang dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum penjajahan British. Oleh itu, kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa, dan keistimewaan untuk menubuh, menyelenggara institusi Islam, mengadakan atau membantu urusan agama Islam. 

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan
Bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa ibundanya. Isu bahasa merupakan salah satu pokok perbincangan semasa permuafakatan kontrak sosial. Isu ini dapat diselesaikan dengan toleransi dan permuafakatan antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu. 

Rasional Pemilihan Perkara-perkara dalam Kontrak Sosial
Asas terpenting yang menjadi permuafakatan kontrak sosial antara masyarakat majmuk di Tanah Melayu dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi keseimbangan dalam masyarakat bernegara. 

Sistem Kerajaan Raja Berperlembagaan ialah satu kesinambungan kepada semangat berkerajaan dan bernegara yang sedia berakar di bumi ini. Semangat yang subur sebati dalam kalangan kaum Melayu tetapi juga tidak asing kepada kumpulan etnik lain seperti Cina dan India. Konklusinya, institusi raja adalah sebahagian daripada budaya warisan bangsa Melayu khasnya dan warga Malaysia amnya. Secara tersirat, pengekalan institusi raja di negara ini ialah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu di tanah air warisan bangsa. Justeru, Almarhum Tunku Abdul Rahman merangka formula bagi membentuk kerajaan berpaksikan penggabungan institusi raja dan rakyat. 

Menjelang kemerdekaan, majoriti orang Melayu merupakan golongan pesawah padi, penoreh getah, dan nelayan. Orang Melayu dalam kemiskinan dan terpinggir. Jurang pendapatan antara bumiputera dengan bukan bumiputera masih lagi jauh. Oleh itu, kontrak sosial menggariskan bahawa orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera. Timbal balasnya, satu juta kerakyatan diberikan kepada orang bukan Melayu sebelum kemerdekaan. Hal ini disebabkan British menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat kemerdekaan.

Interaksi antara orang Melayu, Cina, dan India serta pelbagai etnik lain yang tidak seagama dengan orang Melayu telah berlaku semenjak zaman sebelum kedatangan penjajah Barat. Meskipun mereka mempunyai nilai agama yang berbeza, namun hubungan sentiasa berlaku dalam keadaan harmonis. Pergeseran kaum tidak pernah berlaku disebabkan perbezaan pegangan agama kerana mereka saling menghormati.

Bahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama,dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Bahasa Melayu diyakini berperanan sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik. Kendatipun, bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, namun demikian, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal pun tiada jaminan sebegini. Berdasarkan rasional-rasional pemilihan elemen-elemen yang digagas dalam permuafakatan kontrak sosial tersebut, maka tiada halangan dan alasan yang konkrit bagi penjajah British untuk menghalang kemerdekaan pada tahun 1957.

Konklusinya, sebagai warga Malaysia yang pelbagai etnik sama ada Melayu, Cina, India dan yang lain-lain, sama-samalah kita bertanggungjawab dan bersyukur atas persefahaman nenek-moyang kita pada era prakemerdekaan untuk membebaskan Malaya daripada penjajahan dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat. Rentetannya penjenamaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia.

No comments:

Post a Comment