Tuesday 16 October 2012

Sindrom Ponteng Lepas UPSR & PMR

Assalamualaikum WBT.
"Betapa hebat aku dapat ponteng dengan geng aku"
Setelah murid-murid tahun 6 menyambut ‘Hari Kemerdekaan UPSR’ pada 15 September 2012 baru-baru ini, tidak dapat dinafikan bahawa masalah ponteng sekolah sentiasa menghantui institusi pendidikan terutamanya institusi persekolahan yang merangkumi sekolah rendah dan menengah. Bagi sekolah menengah, fenomena ini berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan 3 yang selesai menduduki PMR. Oleh yang demikian, masalah ponteng sekolah bukan merupakan satu isu yang timbul begitu sahaja. Sebaliknya, gejala ini terpendam dan dapat diketengahkan serta dicetuskan pada bila-bila masa yang dikehendaki.  Di Malaysia, guru-guru dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memantau, mengawas dan seterusnya menangani murid-murid yang terlibat dengan gejala ponteng.
Definisi Ponteng
Ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tugas atau tanggungjawab dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat: 1225). Sehubungan itu, ketidakhadiran murid ke sekolah tanpa sebab yang munasabah dan di luar pengetahuan ibu bapa atau penjaga menatijahkan lari daripada tanggungjawab sedangkan sepatutnya hadir ke sekolah untuk belajar dapat dirujuk sebagai ponteng sekolah. Namun demikian, kedapatan murid yang tidak hadir tetapi dalam pengetahuan ibu bapa atau penjaga. Lazimnya, gejala ini signifikan dengan murid yang tidak berdisiplin dan bermoral rendah.
Jenis-jenis Ponteng
Menurut Azizi Yahaya et. al (2009) dalam kajian mereka yang bertajuk “Faktor-faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Johor”, ponteng terdiri daripada empat jenis seperti Jadual.
Jenis-jenis Ponteng
Jenis
Keterangan
Ponteng sekolah
Keluar rumah dengan berpakaian seragam tetapi tidak ke sekolah.
Ponteng kelas
Hadir ke sekolah tetapi pada masa pengajaran subjek-subjek tertentu, menghilangkan diri.
Ponteng hati
Berada di dalam bilik darjah tetapi hati serta fikiran menerawang keluar dan hanya menunggu loceng waktu akhir untuk keluar sekolah.
Ponteng bangun lewat
Tidak hadir ke sekolah kerana terlewat bangun daripada tidur.
Sumber: Azizi Yahaya et. al (2009) Faktor-faktor yang mempengaruhi gejala ponteng 
di kalangan pelajar sekolah menengah Johor. Unpublished thesis. UTM : Fakulti Pendidikan.

 Kes Ponteng yang Pernah Dilaporkan dalam Akhbar
Aku terpanggil untuk memetik satu kes ponteng yang dilapor dan dimuatnaikkan pada 23 November 2009 dalam Utusan Online iaitu di laman sesawang http:// www.utusan.com.my/ utusan/ info.asp?y= 2009&dt= 1123&pub= utusan_malaysia&sec= Pendidikan&pg= pe_02.htm&arc= hive. Tajuk artikel tersebut ialah “100 Pelajar Sekolah Ponteng Setiap Hari” yang telah dilampirkan pada bahagian Lampiran di halaman 15. 
            Dilaporkan kira-kira 100 murid SMK Tun Syed Nasir Ismail di Kampung Datuk Sulaiman Menteri didapati ponteng sekolah setiap hari. Masalah ini membarah diakibatkan oleh beberapa faktor penolak dan penarik yang menjadi sebab musabab murid melakukan perlakuan sedemikian. Gejala ponteng ini telah merantai diri murid yang terbabit dan mengimplikasikan ketagihan ponteng. Impaknya, fenomena ponteng sekolah akan berterusan dari semasa ke semasa tanpa titik noktahnya sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng
Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng Sekolah
Berdasarkan senario ponteng yang berlaku di sekolah aku, aku telah menjalankan temu bual  dengan beberapa orang murid tahun enam secara berasingan dan dalam situasi santai bagi memastikan tahap kebolehpercayaan data yang tinggi. Dapat disimpulkan daripada temu bual yang telah aku jalankan dengan murid-murid berkenaan, enam faktor dominan yang mempengaruhi gejala ponteng sekolah adalah seperti di atas.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng: Sikap Murid
Kecenderungan serta kesedaran murid terhadap kepentingan akademik dan situasi masa hadapan adalah tipis dibandingkan dengan kecenderungan mereka terhadap hiburan dan budaya hedonisme. Justeru, murid yang ketiadaan visi dan misi dalam pembelajaran mereka telah bersikap tidak cakna terhadap pelajaran. Tambahan pula, sikap murid mudah terikut-ikut dengan gaya penampilan artis yang diminati oleh mereka, seperti memakai pakaian yang berjenama dan stail rambut yang baharu. Lebih mengejutkan, jika tiada wang mencukupi, mereka rela ponteng sekolah untuk bekerja demi mendapatkan wang. Oleh sebab sikap yang negatif daripada murid-murid tersebut telah mengakibatkan keciciran dalam akademik. Natijahnya, minat murid untuk belajar semakin susut dan terhakis.

Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng: Realiti Pembelajaran

Examination oriented yang menjadi teras sistem pendidikan di Malaysia juga menyumbang ke arah berleluasa gejala ponteng sekolah. Impak daripada situasi ini telah menyebabkan pembelajaran hanya berfungsi untuk memberi pelajaran dan bukan pendidikan yang sebenar. Sedangkan pelajaran dan pendidikan mempunyai fungsi yang berasingan. Tambahan pula, pelbagai subjek yang disogokkan kepada murid dan luas pula skopnya untuk dikuasai. Kesemua murid tersebut mengakui bahawa beban pembelajaran yang berat berbanding tahap IQ (intelligence quotient) mereka. Tambahan pula desakan yang melulu sebahagian daripada ibu bapa murid berkenaan yang meningkatkan tahap stres mereka. Oleh hal yang demikian, murid akan hilang minat dalam sesuatu subjek dan guru pula tidak berusaha menarik minat mereka. Justeru, murid-murid itu akan hilang semangat belajar lantas mencari jalan keluar daripada kemelut dalam pembelajaran dengan ponteng sekolah.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng: Latar Belakang Murid
Taraf sosioekonomi ibu bapa murid yang ponteng secara puratanya adalah rendah. Antaranya adalah seperti mekanik, tukang rumah, dan pemandu lori. Berdasarkan temu bual, dapat disimpulkan bahawa ibu bapa murid-murid ini tidak mampu menyediakan segala keperluan pembelajaran mereka dan makanan yang berzat. Cuma seorang murid daripada kumpulan sosioekonomi sederhana iaitu anak pegawai kerajaan. Selain daripada kekurangan dalam aspek kebendaan, ditambah pula dengan ketiadaan kecaknaan terhadap pelajaran, tahap disiplin yang rendah serta senario rumah tangga yang dirundung pelbagai masalah begitu signifikan dengan gejala salah laku ringan, terutamanya ponteng dan datang lewat ke sekolah. Masalah kemiskinan keluarga mengakibatkan kekurangan serba serbi lalu murid-murid ini malas untuk ke sekolah. Konklusinya, latar belakang keluarga yang kucar-kacir dan tahap disiplin yang rendah mengakibatkan murid-murid berasa bosan terhadap aktiviti pembelajaran dan mengambil tindakan yang merugikan diri, iaitu ponteng sekolah.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng: Struktur Sekolah
Bagi faktor ini, murid-murid agak ragu-ragu untuk mengemukakan pendapat mereka. Kemungkinan murid menganggap aku hanya mencari kesalahan mereka ketika sesi temu bual dijalankan. Murid-murid tersebut berani melakukan ponteng sekolah sekehendak hati mereka kerana hukuman ringan yang dikenakan atas kesalahan ini. Selain itu, mereka mengakui bahawa bilangan guru wanita yang tinggi merupakan satu gejala yang mengakibatkan ponteng. Hal ini berkemungkinan diakibatkan daripada kelemahan sebahagian guru wanita untuk mengawal ketenteraman kelas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Sedangkan, pembelajaran yang berkesan datangnya daripada suasana kelas yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat kritikal bagi melahirkan pencapaian yang baik dalam kalangan murid. Ada juga antara murid yang ponteng disebabkan kedapatan segelintir murid sekolah terlibat dalam gengsterisme yang menyebabkan murid-murid lain disindir, dibuli, dan dijadikan tempat melepaskan geram. Perkara ini menyebabkan sesetengah murid lain takut untuk hadir ke sekolah atas alasan ini. Hal ini diakui oleh beberapa orang murid perempuan ketika sesi temu bual dijalankan.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng: Alam Persekitaran
Berdasarkan temu bual tersebut, didapati pengaruh persekitaran juga menyumbang ke arah fenomena gejala ponteng sekolah. Antaranya adalah seperti  kewujudan pusat kegiatan riadah dan pusat internet iaitu kafe siber di sekitar petempatan ini. Justeru, alam persekitaran mempengaruhi jiwa murid-murid ini yang masih mentah. Murid-murid ini celik IT dan akan berfikiran lebih terkehadapan dalam semua aspek termasuklah dari sudut hiburan yang menyebabkan mereka lupa dan alpa peranan sebenar mereka iaitu pergi ke sekolah untuk belajar. Oleh hal yang demikian, jalan yang dilalui untuk terus mengikuti teknologi yang menghilangkan kewarasan akal adalah dengan membuang masa di kafe siber pada setiap waktu termasuklah sanggup memonteng sewaktu masa sekolah agar keseronokan akan dikecapi oleh mereka. Hal ini merupakan faktor penarik kepada gejala ponteng sekolah. Selain itu, jika dirungkai permasalahan ini pasti kita akur bahawa persekitaran sekolah kurang kondusif atau dikatakan sebagai suasana yang membosankan merupakan faktor penolak terhadap gejala ini.
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng: Pengaruh Rakan Sebaya
Selain itu, rakan-rakan banyak mempengaruhi pemikiran golongan muda terutamanya pada alam sekolah rendah juga menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala ponteng. Menurut pengakuan yang dibuat oleh murid-murid berkenaan, mereka terpengaruh dengan rakan-rakan yang terdiri daripada murid-murid sekolah menengah yang berhampiran. Tambahan pula kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa dan perasaan ingin tahu, pastinya desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya boleh menjadi penyebab terjadinya masalah ponteng yang kian sukar dibendung lagi. Hal ini disebabkan murid-murid tersebut berasa seronok dan selesa bersama dengan rakan, meniru fesyen dan gaya rakan-rakan.

Tindakan Terhadap Kaki Ponteng Sekolah yang Dilaksanakan Oleh Sekolah Aku
Berdasarkan pemerhatian aku, beberapa tindakan yang sepatutnya dan yang telah diambil terhadap mereka yang kerap ponteng sekolah. Antaranya adalah seperti berikut:
  1. Memberikan didikan agama yang sempurna agar murid dapat memahami diri dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka iaitu hadir ke sekolah untuk belajar. Sekolah aku ada melaksanakan Program Pasca-UPSR yang membabitkan Panitia Agama Islam dan j-Qaf dalam merangka aktiviti kerohanian seperti pengukuhan bacaan dan pratikal solat serta usrah untuk murid lelaki dan perempuan secara berasingan. Bagi kes ponteng, ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak berkenaan perlakuan mereka meskipun kekangan masa dan tugasan mencari rezeki begitu menghimpit kehidupan. Ibu bapa pastinya sedia maklum perubahan demi perubahan yang dialami oleh anak-anak. Andainya perlakuan anak-anak mencurigakan, pihak ibu bapa harus terus berbicara dan berkongsi masalah.
  2. Tindakan yang berikut boleh dipraktikkan oleh pihak kaunseling terhadap kaki ponteng sekolah dalam menyelesaikan bahana ponteng adalah dengan menanam sikap benci akan perbuatan tersebut sedari kecil. Hal ini agar perasaan yang disemai itu akan tumbuh subur sehingga murid tidak akan melakukan ponteng.
  3. Penguatkuasaan peraturan sedia ada yang berkaitan dengan kesalahan ponteng sekolah perlu diaktifkan, iaitu hukuman merotan. Antara 35 jenis jenis kesalahan berat yang membolehkan seseorang murid dikenakan hukuman merotan oleh pengetua ataupun guru yang dipertanggungjawabkan bagi menjalankan proses merotan ialah ponteng. Tindakan ponteng sekolah merupakan yang ke-29 dalam senarai kesalahan berat; melakukan ponteng sekolah berterusan (berturut-turut) selama 30 hari ataupun berkala (tidak berturut-turut) selama 60 hari / selama satu tahun sesi persekolahan.
  4. Program bacaan surah Yasin dan al-Quran dilaksanakan kepada semua murid tahun enam secara amnya dan khusus untuk mereka yang kerap ponteng sekolah. Kebarangkalian yang tinggi bahawa murid yang terlibat dalam program ini, selepas melakukan kesalahan akan mudah menerima nasihat sekali gus tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan, iaitu ponteng. Hal ini berikutan al-Quran tidak diragui mampu untuk melembutkan hati manusia yang keras. Fakta ini telah terbukti apabila sejarah membuktikan Saidina Umar Al-Khattab yang berjiwa keras sebelum Islam telah lembut hanya dengan mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran sehingga beliau mengucap kalimat syahadat tanda Allah melembutkan hatinya dengan sebab musabah al-Quran.

Dalam merangka sebarang tindakan untuk menangani peningkatan murid ponteng sekolah, sebaik-baiknya kita renungi dan hayati firman Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati dengan penuh kesabaran”.

No comments:

Post a Comment