Wednesday 24 October 2012

Stres

Assalamualaikum WBT.
Ning memang stres giler ...
Menjelang penghujung musim persekolahan 2012, kesibukan pasti menghantui aku sebagai salah seorang keluarga pendidikan. Situasi yang agak sibuk dan tugasan yang dipertanggungjawabkan di sekolah telah memberi impak terhadap tahap kawalan konflik dan stres aku menyebabkan berlaku mirip distress. Dalam hal ini distress merujuk kepada stres yang menimbulkan implikasi negatif seperti ditimpa musibah atau kesulitan.



Kesimpulannya, stres yang aku hadapi lebih dominan berpunca daripada suasana sosial; orang di sekeliling mampu menyebabkan stres, iaitu yang melambakkan pelbagai tugasan untuk diselesaikan. Jika dirujuk pada laman web http://www. myhealth.gov.my, aku dapat mengenal pasti serangan stres melalui beberapa simpton, seperti degupan jantung meningkat dan mengalami perasaan negatif seperti keresahan, kebimbangan, ketakutan atau kemarahan serta mengalami masalah tidur. Oleh hal yang demikian, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menguruskan stres.
Cara mengurus dan menangani stres

Menonton siaran kartun atau rancangan sitkom yang berbentuk komedi di televisyen bagi melupakan seketika permasalahan yang memungkinkan stres.

Melakukan aktiviti menarik nafas dalam-dalam, kemudian menahan nafas seketika dan menghembuskan perlahan-lahan dalam keadaan duduk bersila.

Lazimnya ketika di sekolah, aku menggunakan unsur jenaka bersama-sama rakan sekerja dan kepada murid-murid  ketika untuk menghadapi stres.

Terkadang aku meluahkan konflik yang terbuku di fikiran dan berbincang dengan isteri bagi meredakan stres yang menghimpit. Perbincangan yang kami jalankan jika dirujuk pada hukum syarak lebih kepada aktiviti mengumpat; memperkatakan sesuatu yang benar-benar terjadi.

Menunaikan solat dan berdoa kepada Allah Taala untuk meredakan dan mengendalikan stres dengan cara yang terbaik tanpa menjejaskan sesiapa. 

Menurut pakar berdasarkan laman web http://www.kkk.org.my, ada dinyatakan bahawa pergerakan badan yang terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan yang mengakibatkan stres. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat penenang yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

Dalam Islam dianjurkan agar umatnya membaca al-Quran dan menaakul kebesaran dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Teknik yang demikian ada dinyatakan dalam laman web http://www.sinergifitness.com iaitu Rasulullah SAW menyuruh kaum Muslim untuk membaca dan merenungkan ayat-ayat al-Quran, iaitu ayat Kursi. Sebagaimana diketahui, ayat-ayat tersebut banyak membicarakan tentang keagungan dan keindahan sifat-sifat Tuhan, dan hal ini akan memberikan kesan yang mendalam serta kuat di fikiran kita.

Merenungkan sifat-sifat ketuhanan tersebut akan membersihkan dan mempertingkatkan rohani serta mendapat perlindungan Allah SWT.

Pada laman web http://brotherfaiz.tripod.com ada saranan daripada Rasulullah agar umat Islam selalu berdoa dan berzikir dalam apa-apa jua keadaan demi mendapatkan rahmat dan keberkatan hidup daripada Allah SWT. Hal ini juga dihasratkan untuk mengelakkan daripada terjadinya gangguan-gangguan makhluk-makhluk seperti jin dan syaitan yang memungkinkan stres.

Gambar Hiasan
Menurut Ng Siew Chok pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) yang melaksanakan kajian solat bersama-sama Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim dan Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas yang dipetik daripada laman web http://www.intro2u.net, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang. Justeru, hal ini menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Beliau yang menjalankan kajian otak ketika solat berkata, “Setiap pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik. Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma”. Oleh itu, secara umumnya solat melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan adalah menyamai meditasi yang mampu meningkatkan ketenangan seseorang. Oleh itu, solat merupakan senjata yang ampuh dan berkesan untuk menangani konflik dan stres.

Berdasarkan laman web http://www.myhealth.gov.my, ada disarankan beberapa langkah dan teknik cara untuk menangani stres.  Antaranya adalah dengan menarik nafas dan menahan pernafasan diri serta mengurangkan pergerakan atau berdiam diri untuk mengurangkan degupan jantung.

Dengan melegakan otot-otot serta mengalihkan pemikiran negatif dan tidak rasional kepada yang lebih positif dan membina. Selain itu, adalah dengan menumpukan perhatian kepada perkara yang positif dan menggunakan jenaka untuk memulihkan perasaan stres.

Di samping itu, boleh juga dijalankan pengubahsuaian tempat persekitaran diri dan melibatkan diri dengan aktiviti yang menyeronokkan serta mengenal pasti masalah dan mencari jalan penyelesaiannya.

Terdapat beberapa cara lain untuk mengurus dan menangani stres jika dirujuk pada laman web http://kumpulan.info, yang dipaparkan dalam jadual di bawah.

Cara
Keterangan
Berhenti mengeluh
Fikiran akan semakin tertekan dan tugasan tidak dapat diselesaikan apabila seseorang itu terus menerus hanya mengeluh. Fikirkan secara nilai positif dengan menganggap beban tugasan sebagai satu cara pembelajaran. Selain itu, fikirkan sesuatu yang menarik selepas tugasan itu diselesaikan seperti memperoleh penghargaan daripada orang lain.
Tentukan keutamaan

Lazimnya, semua tugasan tidak dapat dibereskan sekali gus. Justeru,  tentukan tugasan mana perlu didahulukan dan diselesaikan. Abaikan memikirkan tugasan lain kerana akan membuat penumpuan terganggu dan tugasan lebih lambat untuk diselesaikan.
Bertenang dan berehat
Waktu rehat digunakan secara optimum untuk bersantai. Bertenang dan berehat dengan tidur selama 15 minit. Hal ini dapat menjadikan tubuh dan fikiran seseorang itu lebih segar dan bertenaga.
Makan makanan berzat
Jangan lupa untuk menilai pemakanan agar berzat dan berkhasiat. Zat yang mencukupi dapat membuat tubuh lebih sihat dan bersemangat. Banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Bercuti

Tatkala sangat penat, sebaik-baiknya pergi bercuti. Gunakan cuti dengan mengunjungi tempat-tempat yang disukai seperti ke pantai. Sebaik-baiknya, pergi bercuti ke tempat-tempat itu bersama-sama ahli keluarga.
Ubah Suai Sumber : http://kumpulan.info

No comments:

Post a Comment