Friday 11 November 2011

11-11-11

Assalamualaikum WBT.
Hari ini merupakan hari yang istimewa iaitu penghulu segala hari, Jumaat. Selain itu, tarikhnya memang istimewa dan unik. Pada hari ini banyak pasangan yang ingin melangsungkan hari bahagia mereka sebagai raja sehari, ada pula yang ingin membuat majlis doa selamat dan bacaan tahlil, ada juga yang ingin menimang cahaya mata pada hari ini (kalau tidak boleh cara biologi dan semula jadi, melalui pembedahan pun boleh), nak memulakan projek pun pada hari ini. Cuma kalau boleh tidak ada yang ingin ditamatkan riwayatnya pada hari ini.

Sepanjang hayat di dunia ini (Alhamdulillah aku masih diberikan rezeki untuk hidup setakat ini), aku telah menempuhi beberapa kronologi tarikh yang istimewa iaitu
1. 7-7-77 (7 Julai 1977)
2. 8-8-88 (8 Ogos 1988)
3. 9-9-99 (9 September 1999)
4. 10-10-10 (10 Oktober 2010)
5. 11-11-11 (11 November 2011)



Setiap tahun yang kedapatan tarikh yang istimewa itu telah Allah kurniakan pelbagai nikmat dan rahmat yang sedikit sebanyak telah mencorakkan perjalanan dan pencapaian dalam hidupku.

1. Pada tahun 1977 aku menduduki Penilaian Darjah Lima (PDL) di SK Pusat Dungun. Malangnya keputusan PDL aku amat mendukacitakan. Aku gagal ke sekolah menengah yang terpilih.

2. Pada tahun 1988 aku menjejakkan kaki aku di Institut Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Sekali gus mencorakkan kerjaya aku untuk masa yang mendatang, insya-Allah. Aku menjadi guru/cikgu/pendidik. Alhamdulillah.

3. Pada tahun 1999 aku dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) setelah berkhidmat selama 9 tahun di SK Tok Kah Dungun. Ketika itu GB aku ialah Pn. Hjh. Fatimah. Jam tangan hadiah APC masih aku guna dan pakai hingga kini. Syukur masih panjang umur jam aku ning.

4. Pada tahun 2010 murid kelas tahun enam yang aku ajar semuanya memperoleh A dalam kedua-dua subjek iaitu Bahasa Melayu Pemahaman (011) dan Bahasa Melayu Penulisan (012) dalam UPSR 2010. Syukur ke Hadrat Allah SWT. Kata orang Terengganu "Peluh sapai ket'ting" (Peluh sampai ke keting: Bermandi keringat) aku dan murid-murid untuk memperoleh pencapaian sebegitu.

5. Pada tahun 2011, insya-Allah aku akan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda iaitu Bachelor of Teaching (Primary Education) with Honours daripada OUM pada 10 Disember 2011 di PWTC. Insya-Allah aku akan melangkah ke DG 41 tahun 2012. Insya-Allah. Alhamdulillah kutitipkan ke Hadrat-Mu Allah penguasa sekalian alam. Jadikanlah segala nikmat-Mu ini sebagai naik taraf (upgrade) keimanan dan ketakwaan aku. Amin.

1 comment:

  1. A new trend: the growing popularity of sports in eSports
    In 2017, eSports and eSports went live, youtube to mp3 download and in 2019 the gaming industry exploded with their and the best tournaments and tournaments with top

    ReplyDelete