Thursday 22 September 2011

Kon Dale

Assalamualaikum WBT.
Dalam pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar merupakan wadah dalam penyampaian ilmu pengetahuan. Edgar Dale (1969) telah membina tahap-tahap pengalaman pembelajaran murid-murid iaitu Kon Pengalaman Dale. Di sini aku nyatakan dan huraikan setiap peringkat dengan contoh-contoh bahan bantu mengajar yang sesuai. Artikel ini adalah sebahagian tugasan yang aku bereskan untuk subjek HBML 4303 untuk Semester Mei 2010.

1. PENGENALAN
Seseorang guru yang merancang pengajaran dan pembelajaran mulai induksi set hingga penutup akan menentukan penggunaan media atau bahan bantu mengajar yang efisien dalam mencapai objektif pengajaran berkenaan. Bahan bantu mengajar (BBM) adalah salah satu faktor terpenting dalam menentukan keberkesanan pembelajaran yang optimum. Penggunaan BBM mampu memangkin rangsangan keinginan pelajar-pelajar dalam memperoleh sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Bahan bantu mengajar adalah signifikan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Prof. Madya Dr. Wan Zah Wan Ali (2007:32) , dalam HBEF3103 Prinsip Teknologi Pengajaran, bahan bantu mengajar atau media pengajaran merujuk segala sesuatu diaplikasikan untuk menyalurkan mesej daripada pengirim kepada penerima yang hasilnya dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian penerima (pelajar). Natijahnya akan menambah keefisienan komunikasi antara guru dan murid atau sebaliknya, murid sesama murid serta membantu mempercepat proses pemahaman mereka.

Sehubungan itu, Edgar Dale (1946) telah membina “Kon Pengalaman Dale” (Cone of Experience) iaitu proses pembelajaran bermula dengan pengalaman konkrit hingga kepada yang lebih abstrak. Pengalaman tersebut memerlukan pelajar sendiri melibatkan diri dalam suatu pengalaman yang sebenar. Dalam hal ini, pelajar mampu memanfaatkan aktiviti pembelajaran abstrak jika mereka telah menguasai banyak maklumat konkrit bagi menganalisis konsep yang abstrak tersebut. Dewasa ini, meskipun pengetahuan saintifik, psikologi pembelajaran, perkembangan teknologi, beberapa bahan bantu mengajar yang baharu dan lama perlu digunakan untuk mempercepat proses pembelajaran, namun tidak sesuai untuk mengambil tempat seorang guru. Berdasarkan Edgar Dale (1946), kon tersebut merupakan satu model yang praktikal bagi menganalisis kriteria dan keefisienan sesuatu BBM berkenaan.

2. KONSEP KON PENGALAMAN DALE 

Konsep Kon Pengalaman Dale (Cone of Experience) telah dikemukakan oleh Edgar Dale (1946) dalam teori pembelajaran manusia. Teori ini menjelaskan bahawa impak daripada bahan bantu mengajar atau kaedah teknik pengajaran yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini bahan bantu mengajar dapat mengubah kefahaman pelajar daripada yang sukar kepada lebih mudah, iaitu konkrit kepada abstrak. Sehubungan itu, Dale menyarankan agar pengajaran haruslah bermula daripada yang konkrit kepada abstrak. Hal ini dapat memudahkan proses penerimaan maklumat atau pengajaran kepada pelajar. Selain itu, menurut beliau, pengunaan teknologi moden dalam pengajaran memaksimumkan penguasaan pelajar. Konsep ini disokong oleh Heinich, Molenda dan Russel (1989). Teori Dale ini telah mengubah persepsi ahli pendidikan tentang pentingnya penggunaan media dalam pengajaran dan
pembelajaran. Dale memperingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran kepada tiga peringkat iaitu bermula dengan penglibatan, pemerhatian dan persimbolan.

3. PERINGKAT-PERINGKAT KON PENGALAMAN DALE 

Berdasarkan Kon Pengalaman Dale, dapat dikenal pasti bahawa ia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu bermula daripada penglibatan, pemerhatian dan persimbolan. Pemeringkatan ini bermula daripada sesuatu yang bersifat konkrit kepada abstrak. Setiap peringkat dalam kon tersebut mempunyai fungsi yang berbeza.

3.1. Peringkat Penglibatan
Peringkat yang pertama ialah penglibatan yang membabitkan pengalaman konkrit. Oleh hal yang demikian, kita dapat lihat bahawa pengalaman konkrit atau pengalaman sebenar menjadi asas permulaan dengan penglibatan pelajar itu sendiri sama ada melalui pengalaman sebenar, pengalaman tiruan atau pengalaman melalui lakonan atau drama. Sebagai contohnya dalam pengajaran Bahasa Melayu yang bertemakan pertanian, bahan bantu mengajar yang maujud seperti sayur-sayuran atau buah-buahan sesuai dijadikan sebagai media pengajaran. Oleh hal yang demikian, pelajar dapat mengalami sendiri proses pembelajaran iaitu mereka dapat merasa, memegang, melihat, menghidu dan sebagainya menggunakan pancaindera sendiri. Pastinya, aktiviti sebegini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna serta berkualiti.

3.2. Peringkat Pemerhatian
Seterusnya, pada peringkat yang berikutnya, pengalaman konkrit akan semakin berkurangan sejajar dengan peranan pelajar sebagai pemerhati kepada peristiwa sebenar berkurangan. Pada peringkat kedua iaitu peringkat pemerhatian, pelajar bertindak sebagai pemerhati terhadap peristiwa sebenar sesuai dilaksanakan dalam bentuk lawatan, tunjuk cara, pameran, gambar bergerak seperti televisyen dan gambar kaku seperti filem. Lazimnya, pengajaran berbantukan multimedia masih lagi berkesan dalam membantu meningkatkan tahap penguasaan pelajar untuk memahami konsep kerana strategi pengajaran yang dijalankan masih lagi berpusatkan pelajar. Kedua-dua peringkat ini, iaitu penglibatan dan pemerhatian ini diaplikasikan secara beransur-ansur kerana ia bersesuaian dengan proses pemerolehan objektif pembelajaran yang kandungan amat sedikit atau tidak diketahui pelajar. Selaras dengan era teknologi maklumat, penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan objektif pembelajaran seperti cakera padat, video dan multimedia interaktif sangat berkesan dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif.

3.3. Peringkat Persimbolan
Peringkat tertinggi dalam Kon Pengalaman Dale ialah peringkat persimbolan iaitu yang paling abstrak. Dalam hal ini, pelajar akan mengalami pengalaman yang abstrak iaitu mereka mentafsir simbol visual dan verbal yang mewakili peristiwa tersebut. Pengalaman abstrak merupakan pengajaran konvesional yang amat menitikberatkan teks. Segala perancangan yang direncanakan sememangnya lebih cepat dan kos yang murah namun kedapatan risikonya. Lazimnya, pelajar mungkin akan terkeliru dengan penggunaan simbol verbal dan visual kerana mereka masih tidak mahir dalam mentafsir simbol-simbol tersebut. Oleh hal yang demikian, semakin banyak penggunaan simbol abstrak (verbal dan visual), semakin ia disifatkan sebagai “fast but risky”. Konklusinya, berdasarkan Kon Pengalaman Dale, objektif pembelajaran pada peringkat ini hanya akan tercapai jika pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada yang telah dikuasai secara konkrit. Hal ini ada dijelaskan oleh Edgar Dale (1946) bahawa prasyarat setiap pelajar telah mempunyai banyak maklumat konkrit sebelum mereka mampu memanfaatkan dan memanipulasikan aktiviti pembelajaran bagi mentafsir konsep yang abstrak.

4. PENUTUP
Sedia maklum, rangsangan dan kecerdasan pemikiran diperlukan dalam mengoptimumkan impak pembelajaran. Rangsangan yang diterima daripada alam sekeliling sesuai menjadi bahan bantu untuk diproses oleh kecerdasan dan akan menghasilkan pengetahuan dan pengalaman. Meskipun rangsangan daripada alam sekeliling ini amat banyak, namun tidak semuanya itu dapat difahami atau ditanggapi manusia. Rangsangan yang sukar ditanggap tidak akan dapat diproses dan tidak akan membentuk pengalaman baharu. Justeru, seseorang pelajar yang memiliki kecerdasan yang tinggi, namun kurang mendapat rangsangan, maka ia tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkesan. Dapat dirumuskan bahawa guru berperanan besar dalam menentukan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini adalah kerana bahan-bahan itu merupakan wadah yang mampu mewujudkan rangsangan lantas akan bertindak memperkembang kecerdasan dan pengalaman pelajar. Pastinya penggunaan bahan-bahan bantu mengajar berdasarkan Kon Pengalaman Dale adalah antara aspek yang memberi kesan terhadap peningkatan prestasi para pelajar.

No comments:

Post a Comment